Wednesday, January 28, 2009

Pengenalan Kepada Koperasi

Pendahuluan
Tempat ini mengandungi keterangan yang patut anda ketahui mengenai konsep falsafah dan amalan koperasi. Konsep koperasi ialah menolong diri sendiri dengan cara bekerja bersama-sama untuk faedah dan kebaikan bersama. Perkara yang menarik dan menjadi tunggak dalam kaedah mengurus kegiatan ekonomi dalam konsep bergotong royong ini ialah semangat yang melibatkan keanggotaan secara sukarela, bertolong-tolongan secara jujur dan ikhlas, bersatupadu, hormat menghormati antara satu sama lain dan berdikari.

Apakah dia koperasi?
Koperasi ialah satu pertubuhan berdaftar yang didaftarkan oleh Jabatan Pembangunan Koperasi dengan tujuan untuk meningkatkan taraf kedudukan ekonomi dan sosial anggota-anggotanya melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Apakah ciri-ciri koperasi yang patut anda tahu?
A) Koperasi bukannya pertubuhan politik. Anggota-anggotanya tidak boleh menggunakan koperasi sebagai tempat berpolitik.
B) Koperasi bukannya Kesatuan Sekerja(Trade Union). Konsep koperasi ialah tolong menolong antara satu sama lain, bukannya dengan cara berjuang menuntut hak-hak dari majikan.
C) Koperasi bukannya badan kebajikan.
D) Koperasi bukan syarikat persendirian/swasta.

Apakah faedah koperasi kepada anda?
Koperasi menggalakkan semangat bantu membantu, berkerjasama dan mendidik anggota disamping membentuk masyarakat yang berguna:
A) Melalui koperasi anda boleh berjimat menyimpan wang untuk digunakan apabila diperlukan. Menyimpan wang secara bersendirian didapati lemah dan apabila wang yang dikumpulkan hendak digunakan mungkin tidak mencukupi untuk keperluan anda. Melalui koperasi anda boleh mendapatkan kemudahan membayar yuran melalui potongan gaji setiap bulan. Apabila anda memerlukan wang dalam jumlah yang tertentu seperti bagi tujuan perbelanjaan sekolah anak anda, anda telah mendapat kemudahan pinjaman yang telah dikumpulkan oleh anggota-anggota yang lain di dalam koperasi. Anda boleh mendapat kemudahan pinjaman, walaupun modal yang anda keluarkan terhad, kerana koperasi berfungsi menolong antara satu sama lain.

B) Anda membeli barang A dengan harga RM3.50 yang kos belian hanya RM3.20. Nilai keuntungan 30 sen adalah menjadi milik anda bersama dalam koperasi. Koperasi akan mengagihkan keuntungan itu yang dipanggil rebat kepada anggota-anggotanya mengikut jumlah langganan. Semakin banyak seseorang anggota berbelanja dengan koperasinya, semakin besar nilai rebat ang diperolehinya.
Yang pentingnya anda sebagai anggota berhak menentukan mutu dan jenis barangan yang dijual oleh koperasi sesuai dengan harga yang anda bayar. Ini kerana pada masa yang sama anda adalah pelanggan dan tuan punya organisasi tersebut.

C) Angota-anggota mungkin menghadapi masalah penjagan anak atau memerlukan khidmat ekonomi atau sosial yang lain. Koperasi boleh menyediakan khidmat tersebut melalui aktiviti pusat penjagaan anak-anak, khidmat dobi, perniagaan kantin dan lain-lain lagi.

No comments:

Post a Comment