Saturday, March 5, 2011

Mesyuarat Agung Kawasan

Tuan/Puan

Untuk makluman Koperasi Radio Amatur Malaysia Berhad merupakan sebuah koperasi yang telah diluluskan oleh pihak Suruhnjaya Koperasi Malaysia pada 8 Julai 2009 untuk mempunyai keanggotaan di seluruh Malaysia. Sehubungan dengan itu koperasi ini perlu mengadakan satu mesyuarat agung kawasan terlebih dahulu sebelum Mesyuarat Agung Perwakilan diadakan di Selangor. Mesyuarat Agung Kawasan berkenaan boleh diadakan di peringkat negeri-negeri atau zon-zon yang mana setiap kawasan mestilah mempunyai keahlian sekurang-kurangnya 25 orang anggota. Memandangkan koperasi ini baru ditubuhkan maka tuan/puan sebagai ahli yang terawal bagi koperasi ini dipelawa untuk mengadakan mesyuarat agung kawasan bagi memilih perwakilan dari kawasan masing-masing untuk menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan berkenaan.

2. Sehubungan dengan itu sekiranya tuan/puan merasakan kawasan tuan/puan berpotensi untuk diadakan satu mesyuarat kawasan maka sila hubungi saya di talian 012-3050 205 atau 019-334 3305 seberapa segera yang mungkin bagi mendapatkan keterangan lanjut. Perwakilan yang dihantar ke Mesyuarat Agung Perwakilan mempunyai peluang untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Koperasi(ALK) bagi tahun 2011 setelah 5 jawatan ALK akan dikosongkan pada mesyuarat pada kali ini sebagaimana mengikut Undang-undang Kecil iaitu perkara 37 Fasal (1):-

37. 1) Sekurang-kurangnya satu pertiga daripada anggota Lembaga hendaklah mengosongkan jawatan secara bergilir-gilir pada tiap-tiap mesyuarat agung perwakilan tahunan.


3. Tuan/puan sama ada sebagai ahli atau tidak boleh membuat satu mesyuarat berkenaan dikawasan masing-masing setelah mendapat persetujuan ahli lembaga. Presiden atau pengerusi persatuan atau kelab radio amatur juga dipelawa untuk mengadakan mesyuarat agung kawasan masing-masing setelah kesemua 25 anggota berkenaan menjadi ahli koperasi.
Sokongan dari tuan/puan amatlah dialu-alukan bagi memastikan koperasi ini dapat dipacu menuju kejayaan dan landasan yang sepatutnya oleh ALK yang berwibawa.

Sekian Terima kasih.



--
Yang berusaha,



Setiausaha Kramat

Sekilas berkenaan Koperasi Kramat

Untuk makluman ahli-ahli yang dikasihi bermula dari minggu ini sedikit sebanyak maklumat alnjut berkaitan Koperasi Kramat akan dikongsikan untuk tatapan semua melalui ruangan sekilas berkenaan Kramat.
Maklumat ini sangat penting bagi ahli-ahli koperasi sama ada yang sudah atau akan menjadi ahli koperasi pada masa hadapan.

Kawasan Operasi

Menurut Undang-undang Kecil(UUK) Koperasi Radio Amatur Malaysia Berhad ;

Kawasan operasi
6. Kawasan operasi Koperasi ini ialah seluruh Malaysia (termasuk Sabah dan Sarawak)


Fasal 6 didalam UUK berkenaan bermaksud Koperasi Kramat ini boleh mempunyai keahlian di seluruh negara termasuk sabah dan sarawak. Walaupun pada asalnya pihak SKM agak keberatan untuk meluluskan permohonan untuk mendapatkan keahlian seluruh Malaysia, namun setelah diperjelaskan akan situasi rakan-rakan ham yang berada diseluruh pelosok negara maka akhirnya pada tarikh keramat iaitu 8 Julai 2009, pihak SKM telah berbesar hati mendaftarkan koperasi ini dengan rasminya.

Berita ini juga bermakna Koperasi Kramat adalah sebuah koperasi yang akan mempunyai 2 jenis Mesyuarat Agung iaitu Mesyuarat Agung Kawasan dan Mesyuarat Agung Perwakilan. Mesyuarat Agung Kawasan adalah bila mana Ahli Lembaga telah menetapkan kawasan-kawasan tertentu sebagai kawasan untuk mesyuarat seperti Fasal 26 menjelaskan seperti berikut :-

26. (1) Bagi maksud seksyen 37 Akta, Lembaga boleh menentukan kawasan-kawasan mesyuarat dan memanggil satu mesyuarat agung di tiap-tiap kawasan untuk memilih perwakilan ke mesyuarat agung perwakilan. Setiap kawasan hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya dua puluh lima orang anggota.
(2) Bilangan perwakilan yang dipilih bagi sesuatu kawasan hendaklah mengikut nisbah anggota seperti berikut:
(a) bagi tiap-tiap lima orang anggota, seorang perwakilan; dan
(b) jumlah perwakilan bagi sesuatu kawasan hendaklah tidak melebihi empat orang.


Secara mudahnya fasal berkenaan bermaksud setiap kawasan mestilah mempunyai keahlian sekurang-kurangnya 25 anggota yang mana bagi setiap 5 anggota seorang perwakilan akan dihantar mewakili kawasan berkenaan untuk menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan.

Oleh kerana Koperasi Kramat masih lagi baru maka kemungkinan besar kawasan yang akan ditentukan oleh pihak Lembaga tidak mewakili setiap negeri yang ada, tetapi lebih kepada zon-zon tertentu seperti zon utara, timur, selatan dan tengah.

Walaubagaimanapun sekiranya ada mana-mana negeri yang mempunyai keahlian seramai 25 anggota maka negeri berkenaan sudah boleh mengadakan satu Mesyuarat Agung Kawasan. Bagi mana-mana ahli yang berminat sama ada sudah mendaftar atau belum bolehlah menghubungi saya di talian 012-3050205 bagi menyatakan hasrat untuk mengadakan Mesyuarat Agung Kawasan masing-masing.

Mesyuarat Agung Kawasan berkenaan perlu diadakan sekurang-kuranngya sebulan sebelum Mesyuarat Agung Perwakilan yang dijangka akan diadakan pada bulan April nanti.

Bicara Eksekutif dan Taklimat Promosi Program MKM

REJ bersama Tuan Haji Ramlan, pegawai dari pusat konsultasi MKM


Perbincangan bersama-sama bagi maksud halatuju Kramat..


JSJ dan MEZ turut menyertai taklimat ini





Pada 5 Mac 2011, Setiausaha Kramat, Bendahari 9W2JSJ dan salah seorang ALK 9W2MEZ telah menghadiri satu Program yang dianjurkan oleh SKM(suruhanjaya koperasi) dan MKM(Majlis Koperasi Malaysia) di Hotel De Palma Shah Alam.
SKM dan MKM menganjurkan taklimat ini untuk memberi pendedahan kepada koperasi-koperasi yang baru ditubuhkan di sekitar Negeri Selangor berkenaan tanggungjawab ahli lembaga koperasi, bidang tugasan, jenis-jenis latihan, cadangan perniagaan koperasi dan kepentingan mewujudkan koperasi.